bismillahirrahmanirrahim...
Suatu hari seorang anak dan ayahnya sedang duduk berbincang-bincang ditepi sungai. Kata ayah kepada anaknya,
"Lihatlah anakku, air begitu penting dalam kehidupan ini, tanpa air kita semua akan mati."Perbualan tersebut didengari oleh seekor ikan kecil dari bawah permukaan air, lalu ia terus menjadi gelisah dan ingin tahu apakah air itu, yang dikatakan begitu penting dalam kehidupan ini.

Ikan kecil itu pun berenang dari hulu sampai ke hilir sungai sambil bertanya kepada setiap ikan yang ditemuinya.
"Hai, tahukah kamu dimana air itu? Aku telah mendengar percakapan manusia bahawa tanpa air kehidupan akan mati."Ternyata semua ikan tidak mengetahui dimana air itu berada, si ikan kecil mulai gelisah, lalu ia berenang menuju ke mata air untuk bertemu dengan ikan sepuh yang sudah berpengalaman.
Lantas ia mengajukan soalan yang serupa kepada ikan sepuh itu.
"Dimanakah air itu?"
Maka jawab ikan sepuh,
"Tak usah gelisah anakku, air itu telah mengelilingimu, sehinggakan kamu tidak menyedari kehadirannya. Memang benar, tanpa air kita semua akan mati."Manusia kadang-kadang mengalami situasi seperti si ikan kecil ini, mencari kesana kemari tentang erti kehidupan dan kebahagiaan, padahal mereka sedang menjalaninya.
Mereka diberikan oleh Allah mata tetapi tidak mahu melihat, mereka diberikan telinga tetapi tidak mahu mendengar, mereka diberikan hati tapi bak kata pepatah Melayu, 'ikut hati mati, ikut rasa binasa'.
Mereka leka dan telah dilupakan oleh khayalan dunia yang sementara ini. Jauh sekali untuk bersyukur dengan apa yang sedia ada.
************
Sedikit
Ketika Saidina Umar al-Khattab mengerjakan tawaf, beliau terdengar doa seorang lelaki,
"Ya Allah masukkanlah aku dalam kumpulan orang yang sedikit."Terkedu juga Amirul Mukminin dengan doa yang agak ganjil itu. Biasanya manusia suka kepada kumpulan ramai. Jika pengikut ramai lagi hebat, kukuh dan gah kita tetapi lain halnya dengan lelaki ini.
Apabila ditanya, rupa-rupanya lelaki itu menjelaskan:
"Tidakkah tuan membaca di dalam Al-Quran, Allah berfirman bahawa sedikit sahaja di kalangan hamba-Nya yang bersyukur."Tersenyum Saidina Umar.
Sangat ramai di kalangan manusia kini sibuk berfikir bagaimana hendak memenuhi setiap impian yang diidamkan. Sebaliknya terlalu sedikit pula yang berfikir bagaimana hendak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dengan apa yang telah dimiliki.
Hakikatnya, dunia ini sudah dibanjiri oleh lautan manusia yang buta hati.
Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.
Adakah kita seorang yang bersyukur?
***********
Dia TabahSuatu ketika, diriku diulit rasa kesedihan yang menyebakkan. Dalam situasi ini, hanya air mata sahaja yang menjadi teman berbicara. Aku diulit kesedihan bila mengenang nasib diri yang selalunya ku rasa tidak sebaik nasib orang lain.
Sedang hati dilanda kesedihan, tiba-tiba aku terpandang seekor kura-kura yang sedang merangkak perlahan menyeberangi jalan. Melihat keadaan si kura-kura itu, rasa sedihku hilang. Semangat kuatku kembali menapak dalam diri.
Aku mempunyai jawapan pada persoalan yang sering aku tanyakan pada diriku sebelum ini.
Mengapa harus aku merasa sedih. Sedangkan aku sepatutnya harus merasa bahagia kerana aku seorang manusia. Manusia yang ada segala-galanya. Kalau dibandingkan dengan si kura-kura itu.
Kura-kura juga sendirian, tetapi si kura-kura tidak pernah bersedih.
Malah si kura-kura tetap menjadi dirinya yang penyantun dan penyabar.
Terkadang kita mengukur kebahagiaan di mata orang, lantas kita mengorbankan erti bahagia di mata sendiri. Sedangkan bahagia itu letaknya di hati. Kita tidak mampu berasa bahagia kalau kita merasakan tidak boleh bahagia.
Kita melangkah tatkala bahagia hanya beberapa langkah di hadapan dan kita mengambilnya tanpa perlu merampas daripada sesiapa.
Berbahagialah selalu kerana bahagia itu adalah milik setiap orang yang telah bersedia untuk berasa bahagia. Nikmatilah kebahagiaan itu sebaik mungkin.
Semoga berbahagia selalu.